9.8.11

Isu Amerika Syarikat Seret Harga Emas Melonjak Mendadak

Isu AS seret saham Asia susut mendadak.SAHAM Asia susut mendadak semalam susulan penurunan penarafan hutang Amerika Syarikat (AS), justeru mencetuskan kebimbangan mengenai kedudukan ekonomi terbesar dunia itu serta prospek ekonomi negara global lain yang bakal terjejas.

Penurunan itu juga disertai kejatuhan besar harga minyak mentah, manakala harga emas, yang dianggap pelaburan selamat dalam ketidaktentuan ekonomi, melonjak ke paras tertinggi melebihi AS$1,700 seauns.


Keadaan suram pasaran semalam juga adalah lanjutan daripada aktiviti penjualan besar-besaran Jumaat lalu berikutan masalah kewangan yang semakin memuncak di zon Eropah dengan peningkatan jangkaan ia akan merebak ke Itali dan Sepanyol.



Kombinasi masalah hutang zon Eropah dan langkah Standard & Poor’s menurunkan penarafan hutang AS membawa kepada perbincangan mengejut ketua kewangan dan bank pusat negara G7 serta European Central Bank pada hujung minggu lalu dalam usaha membendung tercetusnya satu lagi krisis pasaran.

Pasaran Tokyo susut 2.18 peratus atau 202.32 mata kepada 9,097.56; Seoul susut 3.82 peratus atau 74.31 mata kepada 1,869.44 dan Sydney jatuh 2.91 peratus atau 119.3 mata kepada 3,986.1. Taipei menjunam 3.82 peratus atau 300.33 mata kepada 7,552.80 mata.

Hong Kong pula turun 3.88 peratus manakala Shanghai kehilangan 3.55 peratus. Mumbai jatuh 3,08 peratus dalam dagangan awal.

Pasaran global jatuh pada Jumaat lalu sebelum pengumuman S&P, selepas kumpulan data baru ekonomi AS yang lemah dan amaran dari ketua Suruhanjaya Eropah bahawa krisis zon Eropah itu berkemungkinan boleh merebak ke ekonomi lain.

“Seperti yang lain, kami bimbang mengenai risiko masalah kewangan seperti yang berlaku pada Lehman, akan berlaku kepada Greek,” kata Brown Brothers Harriman dalam nota kepada pelanggan semalam, merujuk kepada bank Wall Street yang tumbang dari segi kewangannya pada 2008 lalu membawa kepada krisis kewangan.

“Keadaan bertambah buruk dengan kelemahan ketara ekonomi AS, perbahasan untuk menaikkan paras hutang dan kini penarafan hutang itu diturunkan serta krisis hutang Eropah yang bertambah buruk…. kedudukan pasaran kini adalah yang terburuk sejak masalah kewangan Lehman,” katanya.

Bagaimanapun, penganalisis IG Markets berkata, dia menjangka saham akan pulih daripada kemusnahan pada akhir minggu lalu menyaksikan indeks Dow Jones mengalami kejatuhan terbesar sejak 2008.

“Kami rasa ada peluang munasabah untuk pembeli yang berminat kerana pasaran mula menyedari yang aktiviti penjualan panik itu dibuat secara keterlaluan” katanya.

“Tiada sesiapa yang benar-benar memahami sepenuhnya kesan penurunan penarafan kredit itu. Ia adalah kes klasik yang mana menyaksikan pelabur menjual terlebih dulu dan baru bertanya,” katanya.

S&P Jumaat lalu mengenai merendah penarafan hutang AS ke AA+ daripada AAA. Keputusan itu mencetus kritikan dari Washington, Setiausaha Perbendaharaan Timothy Geithner berkata, agensi itu menunjukkan “penghakiman dahsyat” dan menjamin pelabur Perbendaharaan AS selamat seperti biasa. – AFP


8.8.11

Tips: Bagaimana Memaksimakan Keuntungan Melalui Pelaburan Barang Kemas.



Pelaburan emas melalui barang kemas.

Ramai yang bertanya kepada saya “Adakah barang kemas pelaburan yang emas yang menguntungkan?”


Saya akan menjawab:


“Emas adalah aset. Jadi membeli barang kemas sebagai untuk tujuan pelaburan juga menguntungkan. Tetapi ia mengambil masa yang lebih panjang untuk untung berbanding membeli jongkong emas, syiling emas dan juga dinar emas”. Sebab utamanya ialah susut nilai barang kemas adalah tinggi (dalam 25%).

Jadi kalau nak untung cepat, anda perlu memilih barang kemas terbaik.

Jika anda pandai memilih barang kemas, maka anda boleh mendapat keuntungan yang maksima daripada barang kemas tersebut. Jadi di sini saya ingin berkongsi dengan anda mengenai 3 perkara iaitu:
  1. Apakah kelebihan pelaburan emas melalui barang kemas.
  2. Apakah kelemahan pelaburan emas melalui barang kemas
  3. Tips bagaimana memaksimakan keuntungan melalui barang kemas.

Kelebihan barang kemas.


Berikut adalah senarai kelebihan membeli & memiliki barang kemas.
  1. Barang kemas cantik dan boleh dipakai, pasti menceriakan hati pemakainya :)
  2. Kelebihan dari segi zakat emas.
  3. Boleh digadaikan di Ar-Rahnu jika memerlukan tunai segera@pusingan modal
  4. Harta warisan yang sangat baik dan boleh memberikan sentimental value yang kuat kepada penerimanya.
  5. Boleh memberikan keuntungan bila dijual semula (apabila harga emas meningkat).
Tengok graf kenaikan harga emas sepanjang 10 tahun lalu. Best!

Kelemahan barang kemas.

Berikut adalah kelemahan-kelemahan barang kemas.
  1. Harganya mahal jika anda beli di kedai emas yang ikut harga FGJAM (ada kedai emas yang boleh jual emas di bawah harga FGJAM).
  2. Ada kos workmanship (upah tukang). Upah ini pula bergantung kepada design barang kemas tersebut. Semakin sukar bentuk barang kemas tersebut maka upah semakin mahal.
  3. Susut nilai barang kemas jauh lebih tinggi berbanding jongkong (antara 25% sehingga 40%)
  4. Boleh rosak (putus, patah, bengkok, berlubang dan kemek). Dah ler tak boleh nak pakai, simpan kena zakat. Kalau tolak kat kedai kena tolak susutnilai 25%.
  5. Susah nak gadai di Ar-Rahnu kalau ada batu permata (sebab tak boleh timbang dengan densimeter)
  6. Anda boleh rugi banyak jika menjual balik barang kemas yang ada banyak batu permata sebab nilai belian cuma dikira berdasarkan berat emas.
Jadi, sebagai pelabur yang bijak, anda perlu memilih barang kemas yang boleh memberikan keuntungan dan manfaat yang maksimum kepada anda.


Bagaimana memaksimakan keuntungan dengan barang kemas?

Baiklah, di sini saya ingin berkongsi 6 tips dengan anda semua, cara-cara memaksimakan keuntungan dengan barang kemas. Jadi sebelum anda membeli barang kemas ikutilah panduan ini.


Tips 1: Survey samada kedai emas tersebut boleh menjual emas di bawah harga FGJAM (www.fgjam.org.my)
Huraian: Walaupun kedai emas memaparkan harga FGJAM namun bila anda tanya betul-betul diorang boleh kasik harga lebih murah.


Tips 2: Survey kos workmanship untuk design kesukaan anda di 3-4 kedai emas. Kemudian tawar-menawar untuk harga upah.
Huraian: Katakan anda sukakan sesuatu design (contohnya buah loket dibawah), tanya kedai emas tersebut berapa upah tukang (workmanship) untuk design tersebut. Anda jangan terkejut kalau harga tukang antara satu kedai dan kedai lain adalah jauh berbeza walaupun design adalah sama (sehingga 100% perbezaan). Jadi, kalau kos upah lebih murah maka anda akan lebih jimat. Anda boleh tawar menawar upah tukang. Contoh untuk buah loket, ada kedai emas cas workmanship RM60 dan ada kedai cas RM120.


Tips 3:
Pilih barang kemas dengan gred emas 916 (22k) ke atas.
Huraian: Gred emas biasa untuk barang kemas adalah emas 916. Elakkan membeli barang kemas dibawah gred 916 (contohnya 20 karat atau 18 karat).

Tips 4:
Pilih design yang padu dan tebal sebab ia tahan lasak. Elakkan design yang nipis @ halus.

Huraian: Kalau anda membeli barang kemas untuk pemakaian sehari-hari, belilah barang kemas yang tahan lasak (lebih tebal dan kasar). Jika anda membeli barang kemas yang nipis, halus atau berlubang maka risiko kerosakan adalah tinggi contohnya putus, kemek, bengkok dan patah. Bila berlaku kerosakan ini, maka barang kemas tu tak boleh pakai lagi. Hati anda sudah tak ceria lagi :( Nanti terpaksa trade-in kat kedai emas dan kena potong susutnilai 25%.

Satu lagi kelebihan design emas yang padu adalah ia boleh memberikan bacaan ketulenan yang tepat apabila ditimbang menggunakan mesin densimeter. Jadi anda akan seronok kerana boleh mendapat pinjaman daripada ar-Rahnu dengan nilai ketulenan emas sebenar. Kalau barang kemas nipis, kekadang bila ditimbang dengan mesin densimeter akan dapat gred yang lebih rendah seperti 20k ke 18k (walaupun sebenarnya emas tersebut 22k).


Tips 5: Pilih design yang takder batu permata (emas 100%). Elakkan sama sekali membeli barang kemas dibawah gred 916 dan ada batu permata.
Huraian: Untuk memaksimakan keuntungan, beli barang kemas yang tidak ada batu permata. Ini kerana batu permata mempunyai 2 kekurangan:
a) Akan ada masalah bila nak gadaikan di Ar-Rahnu sebab mesin densimeter tak boleh timbang dengan tepat. b) Bila anda jual balik kedai tak kira berat batu permata. Diorang ambil nilai emas sahaja

Tips 6:
Pilih kedai yang ambil balik barang mereka dengan nilai yang tinggi.

Huraian: Walaupun susutnilai standard di kedai emas adalah 25%, namun tak salah untuk anda bertanya kepada kedai emas berkenaan “adakah mereka boleh mengambil balik emas yang mereka jual dengan nilai yang lebih tinggi? Mungkin anda mendapat susutnilai cuma 15% untuk emas kedai berkenaan (resit asal perlu disertakan semasa menjual balik).


Kesimpulan.


Emas adalah aset. Walaupun di dalam bentuk barang kemas, ia boleh menguntungkan anda. Namun harus diingat bahawa terdapat beberapa perkara yang perlu anda ambil perhatian sebelum membeli barang kemas.
Jika anda membeli barang kemas dengan betul maka anda boleh mendapat keuntungan dan manfaat yang maksimum. Namun jika anda tersalah langkah maka anda boleh rugi banyak. Jadi, setelah membaca tips-tips diatas saya berharap anda boleh membeli barang kemas yang terbaik :)